Revolusi Elektrik & Kebangkitan Kereta Robotik

Knight Rider bukan lagi sekadar fiksyen sains 80-an. Elon Musk mengambil peranan Wilton Knight dan membawakan kereta robotik yang mampu memandu sendiri. Namun, beliau tidak mencipta kereta eksklusif tetapi menghasilkan kereta mainstream Model S dan tidak lama lagi akan menyusul edisi mampu milik iaitu Model 3.

3366372323_c2d52e28b2_z

Beliau tidak bersendirian menawarkan kereta robotik. Uber, Google dan banyak lagi syarikat turut berlumba-lumba mencipta kereta robotik. Perlumbaan ini tidak terhad kepada syarikat gergasi yang ada bajet berbillion-billion sahaja. Syarikat penyedia teknologi seperti Delphi dan MobileEye bersedia untuk menukar sebarang kereta menjadi kereta robotik.

Kereta elektrik akan membebaskan manusia dari belenggu petroleum. Kereta robotik pula akan merungkai lebih banyak sumber untuk manusia. Ruang dan masa dapat dipergunakan dengan lebih efisyen oleh manusia.

Penciptaan kereta robotik bukan sekadar memberikan pemandu kepada semua orang untuk memudahkan hidup. Kesannya lebih luas dan lebih mendalam dari sekadar tidur dalam kereta semasa perjalanan ke pejabat.

Mengambil air dan membasuh pakaian dahulunya mengambil masa yang banyak setiap hari. Suri rumah zaman dahulu menghabiskan lebih empat jam sehari untuk menyelesaikan tugasan-tugasan tersebut. Masa itu sudah seperti separuh hari berkerja.

Kemudia datang paip air dan mesin basuh yang menjadikan semua tugasan tersebut enteng sahaja. Wanita dibebaskan dari tugasan renyah tersebut dan kini dapat berkarier atau sekadar menikmati masa yang terluang.

Kereta robotik juga akan membebaskan lebih banyak masa kepada mereka yang berulang-alik ke tempat kerja. Ramai yang tinggal di bandar-bandar besar menghabiskan sejam hingga dua jam setiap hari hanya untuk ke tempat kerja.

Apabila sudah ada kereta robotik, mereka dapat memulakan kerja sebaik sahaja perjalanan bermula. Tambahan pula, kereta robotik dapat melakukan koordinasi antara mereka membolehkan trafik yang lebih lancar dan perajalanan yang lebih pantas. Jadi bukan sahaja pekerja zaman akan datang tiba di pejabat dengan kerja sudah ada yang siap, malah mereka tiba lebih awal daripada biasa.

Perubahan tidak terhenti apabila tiba di pejabat. Pemilik kereta duduk di meja tetapi keretanya boleh terus berkerja sendiri. Kereta tersebut boleh menyertai kelompok pengangkutan robotik dan memberikan perkhidmatan teksi di dalam bandar. Kereta tidak lagi menjadi liabiliti bulanan sebaliknya mampu menyara diri sendiri.

Ibu bapa di pejabat juga tiak perlu risau kerana boleh memastikan kereta mereka mengambil anak di rumah dan menghantar mereka ke rumah. Kecurian kereta juga akan hampir pupus kerana pencuri tidak akan cukup gila untuk mencuri kereta yang sentiasa berhubung dengan internet.

Persekitaran bandar juga akan berubah dengan kebangkitan kereta robotik. Kapasiti pengangkutan rangkaian jalan sedia ada akan bertambah tanpa membina sekaki pun jalan baru. Tempat letak kereta di tengah bandar juga tidak lagi perlu kerana kereta boleh pergi ke tempat lain sementara menunggu arahan seterusnya dari tuan mereka. Lebih banyak tanah di dalam bandar kini boleh digunakan dan tergantung kepada datuk bandar untuk menukarkannya menjadi kehijauan taman atau kelabu menara pejabat.

Namun, beberapa pekerjaan sudah pasti akan lenyap. Pemandu teksi dan lori tidak lagi relevan dan terpaksa mencari pekerjaan lain. Pekerjaan-pekerjaan ini adalah sisa-sisa pekerjaan kolar biru yang lumayan tetapi kereta robotik akan menghapuskan semuanya. Pemandu lori akan sekadar menjadi pekerja am mengangkut barang dari lori.

Posmen juga tidak terlepas dari revolusi ini. Mereka boleh digantikan dengan dron darat. Dron ini berkerjasama dengan van robotik sebagai pangakal bergerak mereka untuk menyampaikan barangan kepada penerima.

Kehidupan di bandar akan berubah total. Mereka yang kekal relevan dan dapat menngekalkan pekerjaan mereka boleh hidup seperti raja. Mereka dipandu ke tempat kerja, segala kemahuan dibawa terus kepada mereka dan kereta mereka berkerja untuk mereka. Udara juga lebih bersih dan sejuk kerana tiada lagi pencemaran karbon dioksida.

Bagaimana pula dengan mereka yang kini menganggur? Adakah mereka sekadar melakukan kerja-kerja renyah di rumah para pekerja kota? Membersihkan rumah, basuh baju, memasak, jaga anak dan sebagainya?

Memang benar, kerajaan boleh mengharamkan kereta robotik sepertimana mereka mengharamkan Uber. Dari segi jangka masa pendek, ini akan mengekalkan kestabilan politik dan sosial kerana ramai boleh mengekalkan pekerjaan mereka. Namun dalam jangka masa panjang tindakan tersebut akan merugikan produktiviti negara kerana kos pengangkutan menjadi lebih tinggi.

Pemilikan kereta juga mungkin berubah. Penggunan mungkin sekadar membayar atas penggunaan dan tidak lagi terikat dengan liabiliti bulanan yang tinggi. Tambahan pula, mereka boleh membeli atau menyewa rumah yang lebih murah jauh dari bandar kerana yakin boleh tiba tepat waktu di pejabat setiap hari.

Amat sukar meramalkan apa sebenarnya masa hadapan yang docrak kereta robotik. Mereka yang boleh kekal relevan akan menjadi raja dengan teknologi. Pemilik bisnes boleh menurunkan kos dan menghantar produk mereka secara lebih meluas. Pada masa yang sama, sebahagian besar masyarakat kini menganggur. Adakah kereta robotik akan sekadar melebarkan jurang antara kaya dengan miskin?

Cukuplah dengan kejatuhan petroleum yang tidak terbayang oleh kebanyakan orang, kereta robotik ibarat jatuh ditimpa tangga. Pengangguran massa untuk sebahagian besar dan peningkatan produktiviti untuk sebahagian yang lain akan merumitkan soal sosial, politik dan ekonomi. Belum pun habis satu tsunami sudah ada tsunami lain yang menyusul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *