Revolusi Elektrik & Kejatuhan Petroleum

Tidak semena-mena, Saudi Arabia melaburkan USD3.5 billion ke dalam Uber. Salah seorang puteri mereka kini berada dalam lembaga pengarah. Mengapa sebuah negara pengeluar minyak utama tiba-tiba mahu menjadi Venture Capitalist Silicon Valley?

Dalam masa yang sama pula visa umrah kali kedua dinaikkan daripada percuma kepada 2000 Riyal. Hatta nak transit sahaja pun sudah dikenakan caj visa 300 Riyal. Apa yang berlaku sebenarnya?

Kita imbas kembali apa yang berlaku beberapa bulan sebelumnya. Harga minyak jatuh kerana berlaku lebih pengeluaran. OPEC menaikkan pengeluaran untuk merugikan pengeluar shale oil seperti US & Kanada yang berkos tinggi.

Rancangan mereka memakan diri apabila para pengeluar shale oil ternyata dapat bertahan dan harga minyak tidak kembali ke asal. Terpempan, Saudi Arabia tersedar bahawa mereka ketagih minyak dan wang hasil minyak. Jika keadaan ini berterusan mereka tidak akan mampu menopang ekonomi mereka dalam jangka masa panjang.

Gas Pump by Jess on Flickr
Gas Pump – Jess (Flickr)

Oleh itu kerabat di-Raja Saudi lintang-pukang merangka pelan transformasi untuk menghentikan ketagihan mereka terhadap minyak dan mencari peluang pelaburan baru sementara mereka masih berwang. Uber mungkin startup paling seksi di mata mereka jadi mereka curahkan wang mereka pada startup yang masih belum untung itu.

Sementara itu di Kanada, salah satu think tank kerajaan telah membuat unjuran bahawa harga minyak akan terus jatuh. Lebih mengejutkan lagi, apa sahaja pelaburan yang dibuat dalam pengeluaran sekarang mungkin tidak akan balik modal langsung.

Adakah ini benar-benar permulaan kejatuhan petroleun? Ada sekadar lebihan pengeluaran cukup untuk menggoncang industri yang kelihatannya kukuh? Tidakkah peningkatan permintaan daripada negara-negara membangun akan dapat mengimbangi limpahan bekalan?

Kejatuhan harga minyak baru-baru ini dipicu lebihan pengeluaran sebanyak 10%. Oleh itu, pengurangan permintaan sebanyak 10% sepatutnya setara dan membawa kepada satu lagi kejatuhan. Pengurangan permintaan secara berterusan bermakna kejatuhan harga yang kekal.

Teknologi utama yang boleh mencetuskan perubahan ini sudah pun tiba dan memulakan bibit-bibit revolusi.

Apa dia? Kereta elektrik.

Mungkin ada yang skeptikal kerana mereka kata akhirnya tenaga elektrik yang digunakan datang dari janakuasa minyak juga. Dalam erti kata lain, ekzos sekadar berpindah dari kereta ke stesen janakuasa.

Sekalipun kereta elektrik hanya sekadar itu perubahannya, generator janakuasa lebih efisyen daripada enjin individual dalam kereta. Generator janakuasa sentiasa berfungsi pada kelajuan optimum tidak seperti enjin kereta yang sering berubah-ubah. Ini bermakna kereta elektrik adalah tiga kali ganda lebih efisyen berbanding kereta petrol. Jurang itu tetap ketara walaupun kereta moden 50% lebih efisyen berbanding 20 tahun lepas.

Sebetulnya buang masa berdebat isu janakuasa ini sebenarnya. Apa yang radikal dengan kereta elektrik adalah hilangnya kebergantungan eksklusif kepada minyak. Kereta kini boleh dikuasakan oleh nukelar, minyak, gas, hidro, solar dan angin. Paling kritikal adalah solar dan minyak yang mengubah keseluruhan dinamik pasaran tenaga.

Petroleum adalah sumber terhad – manusia boleh sahaja menyedut habis segala minyak di bumi ini. Kuasa solar dan angin pula dijana matahari yang memberikan tenaga percuma setiap hari. Batu penghalang selama ini adalah ketiadaan teknologi yang dapat menangkap tenaga secara efisyen.

Satu lagi penghalang adalah sifat kuasa solar dan angin yang putus-putus dan sukar dijangka. Oleh itu, storan tenaga diperlukan untuk menampung keperluan semasa ketiadaan kuasa solar dan angin. Kereta elektrik memegang kunci untuk menyelesaikan masalah ini dalam memungkinkan keasa solar dan angin menjadi alternatif yang berdaya saing bagi minyak.

Pada dasarnya, kereta elektrik adalah bateri gergasi bergerak. Oleh itu, sekelompok kereta elektrik dapat menyimpan tenaga yang signifikan semasa matahari bersinar dan membebaskannya di waktu malam. Begitu juga dengan angin, menyimpan tengaa semasa bayu bertiup dan membebaskannya semula semasa kematian angin. Bayangkan kereta anda menyimpan tenaga semasa anda di pejabat dan memberikannya semula sekembalinya anda ke rumah.

Kereta elektrik juga adalah umpan bagi pembelian bateri rumah. Paling utama, pemilik mahu menyimpan tenaga yang dijana oleh rumah mereka pada waktu siang supaya mereka boleh menurunkan bil elektrik.

Kedua, bateri rumah turut dihasilkan dari kilang yang sama mengeluarkan bateri kereta seperti Tesla. Ini menurunkan harga melalui pengeluaran skala besar yang akan memacu lagi permintaan terhadap terhadap teknologi ini. Nissan pula mengambil selangkah lagi ke hadapan dengan mengitar semula bateri lama kereta dan menjualnya sebagai bateri untuk rumah.

Pakej teknologi ini bersinergi untuk membolehkan tenaga hijau menggantikan minyak sebagai sumber tenaga yang murah dan boleh diharap. Britain, Jerman dan Denmark sudah berjaya mencapai beberapa hari bebas tenaga fosil.

Melalui kuasa rangkaian, setiap pertambahan kereta elektrik, panel solar, kincir angin dan bateri rumah akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau dan mengurangkan kos. Oleh itu, penembusan pasaran berterusan teknologi ini sudah pasti akan membawa kepada penurunan kekal harga minyak.

Ini akan menjadi pengakhiran minyak sebagai komoditi utama dunia. Petroleum akan diletakkan bersekali dengan sumber-sumber tenaga lain. Mereka yang masih membeli minyak akan menilai faktor lain seperti kos penyimpanan dan pengangkutan; juga impak alam sekitar dan sosial.

Naik turun harga minyak bukan lagi menjadi pasang surut dalam ekonomi. Gelombang perubahan akan terkumpul menjadi tsunami yang mengubah dunia.

One thought on “Revolusi Elektrik & Kejatuhan Petroleum”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *