Memaknai Ekonomi Islam Bahagian 9

Kerajaan & Politik

Dalam keadaan dunia kini yang suram, ramai di kalangan umat Islam yang mengimpikan kemblinya Khilafah. Ada yang sehingga mengangkat senjata secara haram untuk memenuhi impian mereka. Paling tidak, impian mereka adalah mendapat presiden atau perdana menteri Islamis.

Tidak kira apa pun versi impian mereka, pada dasarnya mereka beranggapan pemimpin atau kerajaan yang mulia akan akan menyelesaikan semua masalah sosio-ekonomi dalam sekelip mata. Semua orang yang memerlukan bantuan akan mendapat pertolongan kerajaan dan semua infrasktuktur yang diharap rakyat akan dibina.

Adakah itu realitinya atau sekadar fantasi?

Photo 13-10-15 8 03 04 PTG

Shaykh Abdal-Hakim Murad menyatakan peranan kerajaan bukanlah untuk memberi pertolongan terus kepada rakyatnya. Sebaliknya, pemimpin menggalakkan rakyat untuk saling membantu.

Selalunya kerajaan zaman kini mempunyai model bisnes seperti ini; kerajaan mengutip cukai dari para individu dan syarikat-syarikat yang dianggap kaya. Kemudian cukai yang terkumpul akan digunakan untuk skim kebajikan dan membina infrastuktur demi kepentingan rakyat. Pendek kata, ini adalah satu bentuk cross-subsidy atau subsidi silang.

Sepatutnya subsidi silang ini cukup untuk menampung keperluan rakyat. Tetapi apa yang berlaku kerajaan selalunya terpaksa berhutang melalui keluaran bon kerajaan. Ideanya adalah untuk meminjam wang dan menggunakannya sebagai penggalak ekonomi. Harapannya, ekonomi akan berkembang dan kerajaan akan mendapat lebih banyak pendapatan.

Mengapa hasil kutipan cukai tidak cukup untuk mendanai program kebajikan dan infrasktruktur untuk rakyat? Antaranya adalah kerana ramai hartawan yang rajin mencari dan mencipta pelbagai helah yang sah untuk mengelak dari membayar cukai. Negara-negara seperti Luxemborg, Panama, Cayman Island, Ireland dan Belanda menyediakan pelbagai ruang untuk mengelak cukai. Sekiranya itu tidak mencukupi, para hartawan boleh melobi untuk potongan cukai, rebat dan pengurangan kadar cukai.

Mari kita kemabli kepada era awal Nabi Muhammad di Madinah. Selepas mendirikan masjid, beliau membuka pasar. Pada masa tersebut, sudah ada empat buah pasar yang lain. Ciri utama pasar Nabi Muhammad adalah tiada cukai dikenakan dan tidak ada kawalan harga.

Sekiranya itu adalah ciri kerajaan ideal, bagaimana kerajaan membina sebarang infraskruktur? Memanglah ada zakat tetapi kadarnya hanya 2.5%. Kadar 20% adalah untuk hasil bumi. Itu pun kalau negara tersebut ada hasil bumi dan rakyat membayar zakat kepada Baitulmal kerajaan.

Bagaimana pula jika rakyat memilih untuk bertindak sebaliknya? Ini bermakna kerajaan tidak akan mempunyai sebarang wang untuk dibelanjakan langsung. Adakah ini bermakna mereka yang miskin tidak terbela dan pembangunan langsung terhenti?

Daripada memaksa si kaya untuk memberi subsidi kepada si miskin, sistem ekonomi Islam menaruh kepercayaan kepada keupayaan manusia untuk menjadi pemurah. Si pemimpin menunjukkan siapa yang perlu dibantu dan apa yang perlu dibina. Kemudian si kaya akan menyumbang secara terus tanpa campur tangan kerajaan dalam bentuk zakat, sedekah atau wakaf. Mereka tidak lagi membayar cukai ciptaan manusia tetapi melaksanakan ibadah.

Dalam hayat baginda, Nabi Muhammad ada mengagihkan sedekah bagi pihak orang lain tetapi wang tersebut jarang disimpan bermalam. Selalunya wang tersebut diagihkan serta-merta kepada yang memerlukan.

Dalam erti kata lain, kita dapat lihat ciri-ciri kerajaan bersaiz kecil.

Banyak institusi dan infrastruktur hebat yang masih berdiri sehingga kini dalam dunia Islam adalah wakaf sukarela para hartawan. Bukannya projek kerajaan yang didanai wang hasil kutipan cukai dari rakyat. Universiti al-Azhar adalah satu contoh terkemuka.

Ini adalah sesuatu yang agak paradoks di mana pada awalnya ktia lihat bagaimana sistem ekonomi Islam direka untuk melindungi dari sifat tamak haloba manusia. Malah nafsu manusia untuk mengumpul dan menikmati harta turut dikekang. Tetapi mengapa bila masuk bab urus tadbir dan pengagihan kekayaan ia percaya bahawa manusia akan bersifat adil dan pemurah?

Melalui kerangka fragility, mungkin logik ekonomi Islam mengira bahawa ini lebih selamat. Lebih baik mengambil risiko bahawa si kaya akan kedekut dan tidak menyumbang kepada masyarakat berbanding membiarkan terbentuknya big government.

Mengumpul cukai dari seluruh negara akan membawa kepada konsentrasi kekayaan. Ini juga akan bermakna konsentrasi kekuasaan yang besar yang mudah untuk disalah guna – baik yang dipilih dan mereka yang mendanai kempen pilihanraya.

Situasi ini membawa kepada banyak kerajaan yang pincang di seluruh dunia. Si kaya tidak kisah kerana mereka serba cukup dan boleh melobi kerajaan – menjadikan mereka semakin kaya. Si miskin pula bergelut untuk hidup dan mudah digula-gulakan dengan saguhati seciput dari kerajaan.

Ini meninggalkan golongan pertengahan tersepit dan tidak mampu memacu agenda perubahan sosio-politik. Sistem ekonomi Islam nampaknya tegar untuk menutup ruang pergantungan terhadap kerajaan dari awal lagi.

Itu belum lagi soal ketirisan dan kepincangan big government. Mari kita kembali kepada contoh Almayer dan Brooks.

Membina Jambatan: Big Government vs Small Government

Andaikan kedua-dua Almayer dan Brooks masing-masing mahu membina jambatan yang bernilai $1 juta. Almayer mempunya Big Government sedangkan Brooks mempunyai Small Government.

Kerajaan Almayer buat apa yang kerajaan biasanya lakukan – mengumpul dana melalui cukai. Tetapi adalah mustahil untuk mengumpul $1 juta tanpa sebarang kos. Pengutip cukai, akauntan dan penyimpan rekod perlu digajikan.

West Seattle Bridge under construction
Gambar dari Seattle Municipal Archives

Baru mengumpul dana sahaja sudah menelan kos yang signifikan. Namun masih ada lagi kos-kos untuk membelanjakannya. Jawatankuasa tender, jurutera yang menetapkan spesifikasi dan pelbagai pegawai penyelia juga perlu dibayar.

Walaupun proses tender berjalan lancar, bidaan paling murah tidak akan menjadi $1 juta. Kontraktor akan perlu menaikkan kos untuk menyerap kos pembayaran lewat dari kerajaan. Hatta pembayaran dapat segera sekalipun, jumlah pihak berkepentinagn yang tinggi memerlukan kos jam kerja yang lebih tinggi. Itu belum lagi kos kelewatan yang cenderung berlaku.

Ini semua dengan andaian bahawa kontraktor mengikut proses. Sekiranya dia merasuah jawatankuasa tender maka sudah tentu kos tambahan tersebut perlu diserap. Cara paling mudah adalah melalui pengurangan kualiti atau peningkatan kos. Lebih teruk lagi, kedua-duanya serentak!

Sementara itu di Brooks, kerajaan mengumumkan bahawa jambatan perlu dibina. Brooks hampir-hampir tidak mengutip cukai maka para hartawan mempunyai wang yang banyak. Seorang hartawan menawarkan diri untuk mewakafkan jambatan tersebut. Dia membayar sebuah kontraktor professional untuk membina jambatan tersebut. Ongkosnya hanyalah harga pasaran tanpa dibebani kos birokrasi!

Utopia?

Nanti dulu tuan, ini semua hanyalah angan-angan utopia? Adakah mungkin untuk mempunyai sebuah masyarakat yang sungguh egalitarian? Sekiranya kerajaan terlalu kecil, bagaimana hendak memastikan keselamatan rakyat? Bagaimana hendak menguatkuasakan undang-undang sekiranya tidak boleh menggajikan seorang pun penguatkuasa?

Namun, ini pernah menjadi kenyataan suatu masa dahulu. Islam di zaman pertengahan mengangkat undang-undang tetapi kerajaan dipandang sebagai satu kejahatan yang perlu. Malah, mereka lambat untuk mempunyai angkatan tentera professional – satu perkara yang dianggap sebagai keperluan sesebuah negara.

Kerajaan dijauhkan daripada golongan peniaga dan rakyat kebanyakan. Pelbagai perkara diuruskan pada peringkat akar umbi – infrastruktur dibina oleh rakyat untuk rakyat. Tidak kira sekolah, universiti, perpustakaan, hospital jalan atau sistem saliran. Ditambah pula dengan sifat Islam yang tidak mempunyai sistem rahib yang formal, maka institusi agama yang besar yang memonopoli urusan hidup rakyat juga tidak wujud.

Golongan yang yang mengharapkan presiden atau perdana menteri Islamis juga biasanya mengharapkan kawalan harga terhadap barangan asasi. Tetapi mereka akan terkejut apabila mengetahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w menolak untuk campur tangan menurunkan harga barang makanan apabila Madinah mengalami masalah kekuarangan makanan.

Ini tentunya menghairankan kerana memandangkan visi keadlian sosial para Islamis selalunya mengandungi harga yang rendah untuk barangan asasi – antara gandum, beras, petrol, gula, dsbny. Selalunya ini dicapai melalui subsidi – semasa pengeluaran dan pengedaran. Kesan yang sama juga boleh dicapai melalui jaminan pembelian hasil oleh kerajaan.

Namun ini mempunyai beberapa implikasi. Paling ketara, strategi ini memerlukan big government. Hanya institusi sedemikian yang mampu mengutip cukai yang banyak untuk mendanai program subsidi.

Subsidi kemudiannya mengherot pasaran. Kita ambil contoh yang kita hadapi setiap hari. Makanan kita kaya dengan karbohidrat, lemak dan gula kerana kesemuanya mempunyai harga yang murah tanpa merit. Ia juga menyebabkan hasil tuaian yang elok dibuang begitu sahaja selepas terlebih hasilan bagi menstabilkan harga.

Sekali lagi, mempunyai big government adalah risiko yang terlalu besar – hatta apabila berhadapan dengan bahaya kebuluran yang nyata. Pengurusan alam sekitar, pengurangan penggunaan dan simpanan strategik dilihat sebagai alternatif yang lebih baik. Malah lebih baik mengharapkan golongan kaya mewakafkan ladang mereka atau memberi sedekah makanan.

Kerajaan Tanpa Taring?

Kelihatannya sistem ekonomi Islam sangat alergik dengan big government. Tetapi adakah ini bermakna ekonomi Islam adalah ekonomi laissez-faire? Adakah para pedagang dan peniaga bebas beroperasi tanpa sebarang peraturan?

Sebenarnya, tidak juga. Ingat bahawa sistem ekonomi Islam sudah sedia menghambat konsentrasi harta dan kuasa. Oleh itu golongan peniaga tidak boleh berbuat sesuka hati mereka. Bukan sahaja big government yang tidak digemari, malah mega corporation turut diragui.

Hayat Nabi Muhammad s.a.w di Madinah memberikan beberapa bayangan tentang sejauh mana kuasa yang perlu ada di tangan kerajaan. Dalam sebuah hadis, Baginda pergi ke pasar dan memeriksa kualiti barang jualan. Baginda bertanya kepada seorang penjual buah mengapa beliau menyembunyikan buah yang rosak di belakang buah yang baik.

Dalam hadith yang lain, mereka yang membuat sumpah palsu dalam jualan dikecam. Ini adalah sejajar dengan larangan terhadap unsur gharar (ketidaktentuan) dalam undang-undang jual-beli Islam. Dalam erti kata lain, sistem ekonomi Islam menuntut ketelusan.

Bukan setakat itu, penjual juga perlu telus apabila dia menjual sesuatu dalam keadaan rugi. Ia mesti dilakukan atas sebab yang sahih. (Contohnya; Menyimpan stok yang tidak terjual akan menelan kos yang lebih besar) Mungkin ini adalah untuk mencegah taktik perang harga untuk melingkupkan pesaing yang lebih kecil.

Meyebut tentang persaingan, terdapat satu riwayat tentang Ali r.a mengarahkan seorang penjual membuka semula gerainya yang mempunyai lokasi yang strategik di dalam pasar. Beliau mengatakan pasar adalah seperti masjid di mana seseorang itu tidak boleh menempah tempatnya. Siapa yang mahu saf hadapan harus datang awal.

Quran juga menyebut tentang penjual yang rela dan pembeli yang rela. Ini boleh difahami dengan pelbagai cara, antaranya adalah tidak patut ada sebarang unsur paksaan dalam sesuatu jual beli. Mudah sahaja kita terbayang bagaimana ini menghalang orang kaya memaksa orang miskin menjual tanah mereka.

Keduanya pembeli yang rela juga bermaksud bahawa pembeli harus mempunyai pilihan penjual. Sudah tentu tidak wujud pilihan sekiranya wujud monopoli. Oleh itu kita dapat lihat kerajaan seharusnya mempunyai kuasa anti-monopoli.

Kerajaan juga harus mempunyai kuasa untuk mematahkan sebarang usaha pencatutan barangan asasi – sesuatu yang perlu dalam pasaran tanpa kawalan harga. Sekiranya pencatutan dibenarkan, maka harga barangan asasi akan mudah meingkat kerana bekalan yang tampak rendah.

Tidak ada keraguan bahawa kerajaan harus melindungi rakyat dari ancaman luaran. Tetapi bagaimana pula dengan keselamatan dalaman? Inilah peranan undang-undang jenayah berlandaskan syariah – yang sekarang biasanya disalahertikan sebagai hudud semata-mata. Sebenarnya ia termasuk qisas, hudud dan takzir.

Hukuman hudud sangat keras tetapi syarat untuk menjatuhkan hukuman adalah tersangat ketat. Ia direka lebih sebagai pencegah jenayah dan bukannya sebagai undang-undang untuk mengawal masyarakaat. Hukuman dijalankan di khalayak ramai untuk menggerunkan rakyat daripada melakukan jenayah dan bukannya takut kepada kerajaan. Lebih baik menghukum sangat sedikit, membiarkan ramai yang terlepas berbanding melakukan ketidakadilan atau menyumbat ramai banduan dalam penjara.

Satu implikasi pelaksanan undang-undang jenayah berlandaskan syariah adalah kadar jenayah yang berkurangan. Dengan kadar jenayah yang rendah, kos mengakses pasaran turut direndahkan. Rakyat tidak risau tentang kecurian, rompakan dan pembunuhan maka tidak perlu mengeluarkan wang untuk pengawal, kunci, sistem keselamatan, CCTV, dsbnya. Malah POS di kaunter pun tidak perlu!

Tetapi harus diingat bahawa undang-undang jenayah berlandaskan syariah terutamanya hudud bukanlah sebutir pil ajaib. Ia hanya boleh dilaksanakan selepas ketidakadilan dan ketidaksamarataan struktural telah dibetulkan. Hudud dalam masyarakat yang tidak adil hanya akan mengundang lebih banyak masalah membawa kepada salah guna kuasa dan bukannya alat keadilan.

Prespektif lain terhadap hudud adalah sebetulnya sebagai langkah terakhir dalam reformasi sosio-ekonomi dan politk yang dibawa oleh Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *