Memaknai Ekonomi Islam Bahagian 8

Dimensi Lain Zakat

capital_in_the_twenty-first_century_front_cover

Setelah menyiapkan kajian mendalam beliau tentang ketidaksamarataan dalam ekonomi moden, Thomas Piketty mencadangkan cukai harta sebanyak 2%.Senario ketidaksamarataan agihan dan konsentrasi harta menyukarkan mereka yang di bawah untuk mendapat mobiliti sosio-ekonomi. Cukai harta sebanyak 2% akan merungkai harta yang terhimpun dan menjadikannya boleh dicapai oleh mereka yang memerlukan. Bisnes dan kehidupan mereka akan mendapat suntikan apabila cukai tersebut dibelanjakan dalam bentuk bantuan terus atau pembinaan infrasktruktur.

Anehnya, kadar yang dicadangkan hampir menyampai kadar zakat iaitu 2.5%. Apapun, di sini kita dapat melihat hikmah pensyariatan zakat iaitu mengagihkan semula kekayaan dalam masyarakat. Zakat bukan sekadar ‘derma’ kepada orang susah tetapi juga langkah proaktif mengelakkan penindasan dan kemiskinan dari awal lagi.

12109079_10200851417445899_1618625733199249833_n

Terdapat juga zakat hasil bumi – iaitu yang dikorek dari perut bumi dan dasar laut. Kadarnya lebih tinggi pada 20% dan perlu dibayar serta-merta bukannya menunggu tempoh cukup haul.

Zakat hasil bumi jarang sekali dikuatkuasakan – walaupun di kalangan negara-negara Muslim yang kaya minyak. Jika dilaksanakan, apa implikasinya?

Pertama sekali, ia akan menghalang konsentrasi harta. Bukan sahaja kadar zakatnya adalah satu perlima tetapi perlu dibayar serta-merta apabila melepasi amaun minimum. Si pelombong tidak boleh menyimpan bahagian zakat dan membayarnya pada hujung tahun.

Kekayaan hasil bumi secara lumrahnya tertumpu di beberapa bahagian sahaja di dunia tetapi zakat akan memastikan kekayaannya akan diagih-agihkan. Kadar yang tinggi dan jadual pembayaran yang ketat akan menghambat tamak haloba dan eksploitasi. Cuba fikirkan, bagaimana mungkin gergasi korporat hendak memeras pekerja sekiranya mereka boleh mendapat wang saraaan yang mewah dari Baitulmal hasil zakat 20%?

Sekiranya dikuatkasakan dengan betul, zakat hasil bumi adalah langkah proaktif untuk menghalang ketidaksamarataan ekonomi pada akarnya dan memastikan keadilan sosial. Kita boleh lihat bagaimana syarikat-syarikat gergasi perlombongan mengeksploitasi bumi dan bertindak sesuka hati mereka. Apakah sumber kuasa mereka untuk bermaharajalela? Senang cakap, kuasa mereka datang dari wang yang banyak.

Masyarakat yang mendapat bahagian 20% dari hasil bumi akan mampu untuk berdiri berhadapan dengan gergasi-gergasi perlombongan ini. Adalah sukar untuk membuli masyarakat yang sudah cukup kaya. Anda tidak akan dapat sewenang-ewang membayar mereka untuk berpindah atau mendiamkan diri.

Para indistrulias mungkin membantah, bagaimana kami hendak buat duit? Zakat hasil bumi memang tinggi tetapi hasil hiliran hanya dikenakan zakat 2.5%.

Ini akan memaksa syarikat perlombongan untuk menggajikan lebih ramai orang kerana mereka hanya boleh menjana lebih banyak keuntungan dengan produk hiliran. Lebih ideal lagi, mereka jua beroperasi dalam pasaran yang mengharamkan pinjaman dengan faedah. Oleh itu mereka harus menggunakan mudharabah dan musharakah untuk mendanai operasi mereka. Oleh itu, lebih banya kekayaan akan diagihkan dalam masyarakat dan tidak tertumpu kepada segelintir sahaja.

Dengan segala idea tentang ekonomi Islam ini, adakah perlu kita kembali kepada sistem khalifah untuk membawa rahmat kepada dunia? Ikuti kupasan dalam bahagian akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *