Memaknai Ekonomi Islam Bahagian 4

Ibadah Membina Waspada

Sebagus mana pun isyarat yang diberikan oleh sesebuah sistem, semuanya tidak bermakna sekiranya si penerima tidak dapat mendengar dan memprosesnya. Minda manusia mudah menerawang setelah beberapa ketika – membuatkan kita terlepas isyarat amaran yang patut kita sedari. Tenung skrin radar berjam-jam dan anda akan mula keliru antara kawan dengan lawan.

Begitu juga dengan pasaran, walaupun anda mempunyai isyarat yang jelas dalam bentuk untung dan rugi anda masih tidak dapat menangkap isyarat amaran. Sudah lumrah manusia untuk lupa.

Teori ekonomi kontemporari mengatakan manusia adalah pemain ekonomi yang rasional. Tetapi mana mungkin manusia dapat kekal rasional sepanjang masa. Sifat manusia yang pelupa akan pantas menghilangkan perkiraan untung rugi. Apatah lagi keprihatinan terhadap persekitaran.

Picture by Gaynor Barton
Foto oleh Gaynor Barton

Kaedah paling asas untuk kembali waspada adalah untuk berhenti daripada apa yang anda lakukan dan kembali dengan fikiran yang segar. Tetapi itu bukan perkara yang mudah dilakukan apabila anda sedang sibuk berurusniaga. Lebih-lebih lagi anda mencipta keuntungan demi keuntungan.

Ibadah dalam Islam ‘memaksa’ manusia untuk memalingkan diri dari urusan dunia pada selang masa tertentu dan dalam pelbagai cara. Paling utama adalah solat lima waktu – Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’. Ada senggang waktu yang panjang antara Subuh dan Zohor tanpa solat wajib. Namun, solat Dhuha amat digalakkan.

Pada hari Jumaat, solat Zohor digantikan dengan Solat Jumaat yang lebih panjang kerana berserta dengan dua khutbah. Semua lelaki wajib hadir. Urusniaga terhenti lebih lama berbanding biasa tetapi Muslim diperintahkan untuk bertebaran di muka bumi setelah solat berakhir.

Tambahan pula, Muslim disaran untuk membaca surah al-Kahfi dari Quran. Surah ini antara lain menceritakan tetang pemuda yang memberikan nasihat kepada rakannya tentang pergi ke pasar setelah tidur selama 300 dan 9 tahun. Surah ini turut menceritakan tentang pemilik kebun yang subur tetapi hilang semuanya setelah dia berpaling dari Tuhan walaupun telah dinasihatkan oleh jirannya.

Setiap tahun, kedatangan Ramadhan mewajibkan setiap lelaki dan perempuan yang mampu untuk berpuasa dari Subuh hingga Maghrib untuk sebulan. Segala yang halal (makan, minum, dsbnya) ditegah di siang hari Ramadhan. Ada ulama mengatakan hikmahnya adalah untuk membuatkan si kaya empati dengan si miskin. Namun ibadah ini juga dilihat sebagai mengekang nafsu dan menyedarkan manusia bahawa mereka sebenarnya memerlukan kurang dari apa yang disangka.

Menjelang Aidilfitri, tiba masa untuk bayaran Zakat Fitrah. Semua orang harus menyumbang sejumlah makanan asasi. Boleh jadi gandum, barli, oat atau beras bergantung kepada keadaan setempat. Makanan atau ganitan tunai yang dikumpul adalah untuk mereka yang miskin dan memerlukan.

Aidil Adha pula tiba beberapa bulan kemudian menggalakkan orang ramai mengorbankan ternakan mereka (lembu, kami, unta, dsbny). Sebaiknya binatang yang dikorbankan adalah binatang terbaik yang mereka ada. Berbanding Zakat Fitrah, ini bukanlah satu kewajipan tetapi sangat digalakkan bagi mereka yang mampu. Mereka yang berkorban dibolehkan makan sebahagian tersebut dan selebihnya diagihkan.

Sementara itu mereka yang menunaikan Haji di Mekah akan mendapati diri mereka memakai ihram sama seperti orang lain tidak kira status ekonomi mereka. Semasa kemuncak haji, semua jemaah beresesak dalam khemah di Arafah dan Mina.

Berulang kali kita dapat lihat corak di mana ibadah mengekang nafsu manusia. Manusia sentiasa diingatkan bahawa harta tidak akan terus menggunung dan dia sebenarnya hanya memerlukan sedikit sahaja untuk terus hidup.

Dalam bahagian seterusnya kita akan lihat tokoh-tokoh sejarah dalam Islam berkaitan ekonomi dan bagaimana kisah mereka mencerminkan doktrin ekonomi Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *