Memaknai Ekonomi Islam

Mukadimah

Makalah ini adalah olahan semula ‘Re-Thinking Economics’ yang Alhamdulillah sudah dicetak dan diedarkan semasa Kongres Anak Muda 2015 di Shah Alam. Fokus makalah ini adalah untuk menggali apa sebenarnya sistem ekonomi yang sejajar dengan ajaran Islam. Kita akan berusaha memaknai apa roh sistem ekonomi Islam dan bukan sekadar jasad serta pakaiannya.

Apa yang kita ada sekarang banyak berkisar kepada kewangan Islam. Istilah setepatnya adalah sistem kewangan patuh syariah. Ini banyak menjurus kepada pakaian luaran sistem ekonomi Islam sedangkan kita perlu mengenali jasad dan jiwanya.

Saya percaya apabila kita dapat mendalami jasad dan jiwa sistem ekonomi Islam barulah muncul solusi-solusi baru yang berhikmah untuk menangani permasalahan umat manusia.

Antara anekdot yang mencetuskan makalah ini adalah kisah bagaimana Sultan Muhamma al-Fatih mengukur ketinggian peribadi rakyatnya. Baginda pergi ke pasar untuk membeli roti, minyak dan madu. Penjual pertama mempunyai ketiga-tiga produk tersebut tetapi hanya menjual satu sahaja dan meminta baginda membeli dua produk lain daripada penjual lain. Penjual kedua pun begitu juga hanya menjual satu produk dan meminta baginda membeli produk yang satu lagi daripada penjual lain.

Sikap sebegitu sangat bertentangan dengan amalan bisnes masa kini yang mahu mengaut segala peluang jualan. Ternyata kita harus menilai kembali pandangan alam kita tentang ekonomi.

Sejujurnya, saya tidak selayaknya menulis makalah ini. Namun, dengan meminjam keberanian dan buah fikiran para pemikir hebat sebelum ini maka saya gagahkan jua untuk mengadun semuanya menjadi kerangka yang komprehensif. Antaranya adalah Alvin & Heidi Toffler, Benedikt Koehler, Seth Godin, Shaykah Abdal-Hakim Murad, Harris Irfan, Peter Thiel, Nassim Nicholas Taleb, Thomas Piketty, Imam Muhammad al-Hassan al-Shaybani, Dr. Adi Setia, David Graeber, Tim Harford, Ainon Mohd, Hasrizal Abdul Jamil dan ramai lagi.

Versi ini ditulis setelah ‘Re-Thinking Economics’ dibaca dan dikomen oleh beberapa orang sahabat. Namun, makalah ini masih kekurangan input daripada sarjana-sarjana mapan. Apa yang pasti perbincangan ini harus terus dimajukan dan disebarluaskan. Sudah tentu akan ada yang menoleh mentah-mentah makalah ini atas pelbagai alasasn tetapi saya percaya perbincangan ini terlalu penting untuk menunggu lampu hijau para pakar. Saya juga percaya kaedah ini membolehkan kita menerobos kotak-kotak bidang ilmu yang selama ini menghalang kita daripada membuka lembaran pemikiran baru.

Akar Radikal

Kata akar perkataan radikal itulah ia – akar. Dari perkataan radix. Namun pengertian umum tentang radikal sekarang adalah sesuatu yang membuang tradisi dan melawan segalanya. Ironi kerana kata asalanya adalah akar yang selalu dikaitkan dengan tradisi.

Makalah ini adalah sesuatu yang yang radikal tetapi persoalannya – radikal yang bagaiman? Adakah radikal berakar atau radikal membuang akar?

Dari satu sisi, makalah ini adalah radikal berakar kerana cuba untuk menggapai secara terus jiwa ekonomi Islam. Namun dalam masa yang sama, radikal membuang akar kerana membuang tradisi pemikiran ekonomi arus perdana.

Kaedah penulisan makalah ini juga radikal kerana dihasilkan di luar naungan institusi tradisi. Makalah ini bukan untuk tujuan Ijazah Sarjana mahupun Doktor Falsafah. Boleh dikatakan ini adalah satu kajian peribadi atas inisiatif sendiri sebagai sumbangan kecil kepada kepustakaan Islam dan Melayu.

Isu Istilah

Setiap istilah ekonomi, politik, dan shariah yang digunakan dalam makalah ini sudah tentu mempunyai konotasi tersendiri. Perkataan yang asalnya bersifat neutral boleh sahaja bertukar menjadi negatif. Begitu juga sebaliknya.

Ambil contoh istilah ‘Ground Zero’. Asalnya istilah ini bermaksud kembali kepada keadaan asal tanpa prejudis dan membincangkan semula sesuatu rundingan. Namun setelah insiden 11 September, istilah Ground Zero digunakan untuk merujuk kepada tapak tragedi.
Oleh itu, kita tidak dapat lari daripada penafsiran yang pelbagai. Sebagai penulis, adalah tidak produktif untuk terlalu lama memikirkan dilema persepsi masyarakat tentang istilah yang dipilih. Apa yang penting adalah untuk membincangkan idea. Mahu tidak mahu, idea-idea memikirkan dan menilai semula pandangan alam kita sudah pasti akan menyinggung perasaan sesetengah pihak. Oleh itu, sedaya mungkin istilah yang digunakan diseimbangkan antara persepsi dengan penyampaian maksud.

Mendefinisi Semula

Takrifan kita terhadap istilah-istilah yang kita gunakan memberi kesan terhadap tanggapan dan pandangan alam kita. Oleh kita harus menyemak kembali takrifan-takrifan istilah-istilah ekonomi bagi menyelami jiwa ekonomi Islam

Kita mendefinisi semula supaya kita dapat melihat sebetulnya apa yang patut dilakukan. Matlamat kita adalah memahami apa sebenarnya sistem ekonomi Islam berasaskan shariah dan bukannya sistem ekonomi Neo-Liberal yang disolek menjadi patuh shariah!

Ekonomi

Takrif arus perdana adalah pengurusan / tadbir urus sumber yang terhad. Islam pula menggunakan istilah tadbir al-manzil yang membawa maksud pengurusan rumahtangga / isi rumah.

Sumber Terhad

Istilah ini menjadi teras kepada takrif arus perdana tetapi Islam mempunyai pendekatan berbeza. Penekanan diberi kepada konsep syukur yang akan membawa kepada Allah menambah kurnianNya kepada hamba-hambaNya.

Perbezaan nilai ini membawa kesan berantai takrif istilah-istilah, andaian-andaian dan pandangan alam sistem ekonomi arus perdana.

Wang

Dalam sistem ekonomi arus perdana, wang dianggap mempunyai nilai intrinsik – yakni wang mempunyai nilai yang berdiri sendiri. Sistem Islam pula melihat wang sebagai alat atau wadah untuk menyeimbangkan jual beli dan bukannya sebagai barangan jual beli.

Oleh itu tidak wujud istilah ‘Kos Masa Wang’ dalam sistem Islam. Wang dengan sendirinya tidak mempunyai sebarang nilai. Ini juga menidakkan ‘Kos Peluang’ apabila meminjamkan wang kepad orang lain dan tidak menggunakannya sendiri.

Pinjaman Komersil

Amalan sistem ekonomi arus perdana meboleh pinjaman diberikan dengan menetapkan tempoh dan kadar faedah bayaran balik. Namun, hanya ada Qardhul Hassan -pinjaman tanpa faedah dalam Islam.

Wang tidak boleh diperanakkan begitu sahaja. Cara untuk mengembangkan wang adalah menjadikannya modal dalam kontrak Mudharabah dan Musharakah. Nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan tetapi bukan kadar keuntungan. Menetapkan kadar keuntungan sebenarnya bermakna nisbah pembahagian keuntungan yang berubah-ubah.

Kapitalism

Menurut Max Weber, kapitalism adalah kerangka fikiran tertentu yang menyebabkan seseorang mahu menghasilkan dan memperdagangkan baranagn. Beberapa sifat-sifat khas membentuk kapitalism terutamanya kesanggupan untuk melaburkan masa dan usaha demi menuai keuntungan jangka panjang.

Definisi ini tidak bertentangan dengan Islam selagi mana keuntungan datang dari aktiviti ekonomi sebenar yang halal dan bukannya dari kadar faedah atas pinjaman yang diberikan kepada orang lain.

“Tuhan telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”

Istilah ini selalu menjadi momokan apabila menempelak kegagalan sistem ekonomi arus perdan dalam mengangkat keadilan sosial. Tetapi sebenarnya istilah ini telah dipesongkan apabila wang dijadikan barang dagangan.

Apabila wang dijadikan barang dagangan dan bukannya produk serta perkhidmatan sebenar, ketidakseimbangan pengagihan pendapatan segera muncul. Mereka yang membanting tulang kekal miskin sedangkan si kaya kekenyangan goyang kaki.

Inilah fenomena ketidakseimbangan struktural yang didedahkan Thomas Piketty dalam buku beliau Capital in the 21st Century. Jurang antara miskin dan semakin melebar atas dua sebab;

  • Membenarkan wang memperanakkan wang tanpa usaha
  • Cukai yang lebih rendah terhadap pendapatan hasil daripada pelaburan kewangan

Sebetulnya, apa yang diamalkan sekarang bukan lagi kapitalism tetapi wang-ism. Lebih tepat lagi adalah kredit-ism kerea sistem sekarang tidak lagi menggunakan ‘wang sebenar’ tetapi hanya kredit melalui sistem Fractional Reserve Banking.

Kapitalism tidak bersalah, tetapi kredit-ism yang bertopengkan kapitalism adalah pesalah sebenar.

Seperti yang telah dijangka al-Ghazali tentang golongan perbankan, ‘adalah menjadi sangat mudah baginya untuk beroleh wang di atas kadar faedah tanpa perlu bersusah-payah melakukan aktiviti ekonomi sebenar. Ini membantutkan kepentingan sebenar kemanusiaan kerana kepentingan kemanusiaan tidak boleh dilindungi tanpa kemahiran perdagangan, industri dan pembinaan sebenar.’

Kekayaan dan Kemakmuran

Sistem ekonomi Neo-Liberal memandang tinggi terhadap kekayaan individu. Setiap orang seharusnya bertindak dengan rasional untuk menghimpun harta sebanyak-banyaknya. Bahkan, mencapai kebahagian melalui pengumpulan harta dianggap sebagai hak setiap insan. Malah, secara tersurat atau tersirat mereka yang miskin dikatakan berpunca dari silap mereka sendiri.

Namun ekonomi Islam mempunyai pandangan berbeza. Masyarakat itu yang perlu kaya dan makmur, bukannya individu. (Dalam konteks sekarang, masyarakat merujuk kepada negeri dan negara)

Berbalik kepada takrif eknomi Islam iaitu tadbir al-manzil atau pengurusan isi rumah. Dalam sesebuah isi rumah kebiasaannya ada si bapa yang bertanggungjawab untuk mencari nafkah. Mungkin juga si ibu turut berkerja untuk menambah pendapatan. (Atau mungkin juga sebaliknya)

Namun dalam isi rumah tersebut akan ada mereka yang belum mampu dan tidak mampu berkerja – anak-anak dan orang-orang tua. Si bapa akan menguruskan perbelanjaan isi rumah supaya setiap ahli dapat memenuhi keperluan masing-masing.

Konsep ini yang dibawa kepada peringkat yang lebih tinggi. Ahli masyarakat berkerjasama untuk menjana nilai dan pendapatan. Kemudian hasil yang diperoleh diagihkan untuk memastikan keperluan asasi setiap orang dapat dipenuhi.

Jika diamati, adalah tidak logik setiap orang boleh menjadi kaya. Lebih-lebih lagi dalam konteks ekonomi araus perdana yang mengandaikan sumber adalah terhad. Sekiranya andaian tersebut benar, maksud tersiratnya adalah akan ada golongan yang dinafikan untuk mendapat sumber yang mencukupi. Tanpa sumber yang mencukupi sudah pasti mereka akan dikelaskan sebagai miskin. Ini adalah satu paradoks!

Penanda aras kekayaan dalam sistem ekonomi Islam adalah apabila setiap ahli masyarakat cukup keperluan asasi mereka. Sistem ekonomi arus perdana pula meletakkan tanda aras kekayaan apabila individu mampu membeli apa sahaja kehendaknya!

Pertumbuhan

Sebelum kita pergi lebih jauh harus diingatkan bahawa wang yang kita gunakan sekarang bukanlah gantian mudah kepada emas dan perak. Apa yang kita gunakan sebenarnya adalah kredit – satu unit tukaran yang dicipta oleh bank yang didokong oleh kadar faedah. Oleh itu yang kita gunakan sekarang ada kadar faedah yang perlu dibayar. Paling tidak melalui penyuutan nilai akibat infalsi.

Pengguna kredit sebagai wang inilah yang memace kegilaan terhadap pertumbuhan. Pertumbuhan pendaptan, pelanggan, keuntungan – semuanya seakan wajib untuk dicapai saban tahun. Jika tidak ada peningkatan dari tahun sebelumnya, anda dianggap sudah rugi. Inflasi menyebabkan RM1000 tahun ini bernilai lebih rendah berbanding RM1000 tahun lepas.

Obsesi terhadap pertumbuhan juga dilihat berakar dari definisi ekonomi neo-liberal. Dalam sistem yang percaya bahaw sumber adalah terhad, tidak mengaut lebih banyak sumber bermakna membiarkan orang lain memilikinya. Tambah pula apabila orang lebih kaya itu dianggap sebagai bertaraf lebih tinggi.

Sistem ekonomi Islam pula fokus kepada qanaah atau kecukupan. Ada banyak takrif cukup tetapi antaranya cukup makan minum, berpakaian sempurna, ada tempat berlindung dan dapat beribadah. Apa yang lebih diberikan dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Konsep qanaah membolehkan manusia mencapai ketenangan kerana ada tanda aras yang konkrit dan boleh dicapai. Konsep berkembang atau anda dianggap rugi akan menyebabkan manusia tidak berhenti mengejar harta. Nafsu manusia tidak akan pernah puas kerana apabila sudah dapat segunung emas, ia akan mahu segeunung emas lagi.

Jika kita amati kitab-kitab muamalat klasik, akan wujud kisah di mana peniaga tidak ke pasar kerana dia sudah mendapat keuntungan yang mencukupi. Boleh anda bayangkan hipermarket Tesco tutup awal kerana sudah capai kouta jualan?

Bukanlah pertumbuhan dinafikan terus dalam Islam. Sepohon kurma pun perlu mencapai tahap tertentu sebelum mula berbuah. Bisnes juga perlu mencapai tahap keuntungan tertentu sebelum dapat menyara pemilik dan keluarganya.

Pertumbuhan masih ada tempatnya, tetapi dalam kadar yang terkawal. Begitu juga dengan nafsu, tidak dimatikan tetapi dikawal.

Konteks pertumbuhan juga berbeza antara sistem ekonomi Islam dengan Neo-Liberal. Adalah tidak pelik bagi seorang Muslim untuk menanam pohon yang dia tidak akan sempat menikmati buahnya. Oleh itu kita dapat lihat ramai tokoh dalam sejarah mewaqafkan harta mereka untuk madrasah dan universiti. Mereka tidak kisah sama ada graduan institusi-institusi tersebut akan berkerja untuk mereka atau tidak. Juga tidak ada jaminan akan ada hasil kajian yang akan menguntungkan mereka.

Sistem Neo-Liberal pula pergi ke ekstrem yang satu lagi. Bukan sahaja institusi-institusi pendidikan untuk keuntungan semata-mata. Malah, kebnyak pelajar membayar yuran dengan pinjaman berasaskan riba.

Apa sebenarnya cagaran pinjaman tersebut? Boleh dikatakan sebenarnya para pelajar mencagarkan pendapatan masa hadapan mereka yang dijangka lebih tinggi apabila memiliki ijazah.

Perbuatan ini ibarat memakan semua biji benih sekarang untuk menikmati buah-buahan masa hadapan yang seharusnya terbit dari benih-benih tersebut!

Risiko & Rezeki | Risk & Rizq

Sistem ekonomi Neo-Liberal obses untuk menghitung risiko kerana dengan itu mereka percaya risiko boleh dikawal. Sistem ekonomi Islam pula berpaksikan kepada rezeki yang ditetapkan Allah. Kita tawakkal – buat apa yang terbaik dalam kuasa manusia dan selebihnya terserah kepada Allah. Tuhan ada tempat dalam sistem ekonomi manusia kerana ada perkara yang di luar kawalan.

Sikap ini juga yang terbawa-bawa kepada sikap terhadap keuntungan. Sistem Neo-Liberal mengimpikan keuntungan yang konsisten sedangkan sistem Islam tidak cuba melawan fitrah bawaha keuntungan ada pasang surutnya. Kita dapat lihat perbezaan ketara apabila membandingkan antara pinjaman komersil dengan perjanjian usahasama Mudharabah/Musharakah. Bank yang menawarkan pinjamam komersil mahukan bayaran balik yang konsisten. Usahasama Mudharabah/Musharakah pula membahagikan keuntungan (sekiranya ada) di akhir setiap projek yang dilaburkan.

Keuntungan juga dilihat sebagai sesuatu yang perlu diperah dan diperas dalam sistem Neo-Liberal. Sistem Islam pula percaya kemakmuran dan limpahan boleh dipupuk melalui pelbagai kaedah.

Sistem pertanian moden dalam kerangka ekonomi Neo-Liberal mahukan penghapusan total makhluk perosak. Islam pula menganjurkan bahawa apa yang dimakan haiwan-haiwan lain adalah satu bentuk sadaqah.

Perbezaan dasar pertentangan nilai ini sebenarnya dapat dilihat berakar umbi pada pemahaman sifat manusia itu sendiri. Sistem Neo-Liberal percaya bahawa manusia adalah rasional dan boleh mengurus pasaran dengan sendirinya. Ajaran Islam pula mengingatkan bahawa manusia adalah makhluk yang pelupa dan memerlukan bimbingan wahyu.

Manusia juga bersifat tamak – apabila sudah diberi segunung emas ia akan mahu segunung emas lagi. Turunnya Islam adalah antaranya untuk mengekang sifat tamak ini dan menyuntik senstiviti. Manusia mudah menjadi buta oleh itu ajaran Islam membantu manusia untuk sentiasa celik. Sistem Neo-Liberal pula meraikan sifat tamak ini kerana status manusia bergantung kepada jumlah harta yang dihimpunnya.

Sistem ekonomi Islam meletakkan harta sebagai alat dan bukannya matlamat. Lebih spesifik lagi, alat untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Sistem Neo-Liberal bukan sahaja meletakkan harta sebagai matlamat tetapi seterusnya sebagai alat untuk memperhambakan manusia lain.

Konsep rezeki dalam Islam membawa pemahaman bahawa hasil yang diperoleh bergantung kepada qada’ dan qadar. Sistem Neo-Liberal pula percaya manusia pasti mendapat apa yang dihajatinya asalkan dia berusaha gigih,

Jika diamati, ternyata tidak ada tempat untuk Tuhan dalam sistem ekonomi Neo-Liberal. Isalam pula mencakupi seluruh aspek kehidupan dan ekonomi tidak terlepas dari terjalin dengan ibadah.

Adakah ini satu lagi perbincangan klise Islam lawan Barat? Ikuti kupasan lanjut dalam bahagian seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *