Matlamat Pendidikan di Zaman Global

Tatkala saya diminta mengendalikan Bengkel Pengajaran dan Pembelajaran Matematik kepada guru-guru SERPAMA, Svay Khleang, Thbaung Khmum, Kemboja, pada 20-22 Disember 2015, saya menggariskan dua persoalan utama. Persoalan pertama membicarakan bagaimanakah Matematik boleh difahami dan dikuasai oleh guru-guru dan murid-murid. Persoalan kedua adalah halatuju dan matlamat pendidikan kepada murid-murid sekolah. Saya mengucapkan ribuan terima-kasih kepada Dr. Mohd Zain Musa, Pengetua SERPAMA yang menjemput saya mengendalikan bengkel ini disekolahnya.

Beliau sedang berusaha menyiapkan bangunan sekolah tiga tingkat yang seluruh kosnya berjumlah USD300,000. Jika ada penderma-penderma di Selangor ini yang sudi membantu beliau, silalah hubungi beliau. Saya kemudiannya dijemput juga memberikan pandangan dalam Seminar Dakwah dan Pendidikan Masyarakat Muslim Kemboja, pada 25 Januari 2016, bertempat di Putrajaya.

Berdasarkan dua pembentangan ini, makanya disini saya menuliskan dengan lebih kemas tentang persoalan kedua berkenaan. Jawapan saya kepada persoalan matlamat pendidikan bukanlah berdasarkan kajian dan rujukan yang tuntas kepada banyak sumber, namun hanyalah berdasarkan pengalaman dan renungan yang agak teliti terhadap permasalahan pendidikan di Malaysia, baik pada peringkat sekolah mahupun universiti.

Kajian dan rujukan teliti akan saya lakukan kemudiannya, dan penerbitan seterusnya mungkin berbentuk teori pendidikan. Persoalan matlamat pendidikan ini amatlah penting dibicarakan, malah patutnya mendapat tempat dihati ibubapa yang anak-anak mereka menuntut disekolah atau universiti, kerana hanyalah dengan didikan yang baik kepada anak-anak akan menjadikan mereka bersedia untuk mengharung cabaran abad-abad mendatang. Berikut saya gariskan rumusan terhadap matlamat pendidikan yang sebelum ini saya bicarakan kepada dua kumpulan hadirin sahaja :

i. Mendatangkan Minat Belajar : Pentadbir, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan ibubapa perlulah berusaha mendatangkan minat belajar dikalangan kanak-kanak dan siswa/i. Banyak cara boleh digunakan seperti penceritaan, permainan, biografi, teladan, etnoilmu, dll.

ii. Dorongan Memahami Ilmu : Silabus dan kaedah pengajaran-pembelajaran mestilah berteraskan kepada memahami konsep-konsep ilmu, dan bukannya menghafal rumus/formula/fakta. Sesuatu konsep mestilah dijelaskan semenjak awalnya, dan bagaimanakah rumus/formula/fakta itu hadirnya sedemikian?

iii. Membina Sikap Intelektual : Pengajaran-pembelajaran apapun bentuk ilmu mestilah sepatutnya menyuburkan pemikiran seseorang murid/siswa/i, sebab penjelasan keberadaan sesuatu ilmu memerlukan aspek berfikir yang bukan sedikit. Segala bentuk kaedah berfikir sepatutnya dapat digarap dalam pengajaran-pembelajaran terutamanya berfikir analitik, logik, intuisi, induksi, deduksi, dll. Namun, lebih umum, pemikiran sebegini boleh dikembangkan kepada aspek-aspek intelektual lainnya seperti membaca, berbincang, mengkaji, memimpin, menulis, mengurus, dll.

iv. Membina Sikap Mesra Penyelidikan : Pengajaran-pembelajaran yang bertunjangkan kaedah berfikir akan mendorong kanak-kanak/siswa/i untuk melakukan rujukan yang agak sederhana banyak, dan ini secara tak langsung mengajar mereka melakukan penyelidikan kecil-kecilan (malah berbentuk ulangan) dalam bidang-bidang ilmu yang mereka pelajari.

v. Membina Sikap Mesra Berkarya : Melakukan rujukan yang sederhana banyak memaksa seseorang kanak-kanak/siswa/i untuk menyusun maklumat-maklumat yang digelintarnya untuk memahami sesuatu konsep. Ini akan mendorong beliau menulis karangan bagi menyusun dan mengaitkan maklumat-maklumat yang berulangan dan pelbagai.

vi. Membangun Dokumentasi : Rujukan yang sederhana banyak memungkinkan seseorang kanak-kanak/siswa/i membuat salinan fotokopi terhadap buku-buku, majalah-majalah, jurnal-jurnal, dll sumber rujukan bagi sesuatu konsep ilmu. Salinan-salinan ini sepatutnya disimpan dalam satu sistem pengkatalogan yang agak baik. Ini memerlukan bimbingan ibubapa dan guru-guru/pensyarah-pensyarah. Galakan membeli buku mestilah ditekankan. Lain-lain bentuk dokumentasi juga mestilah dikembangkan seperti diari, web, blog, pangkalan data, dll.
vii. Persekitaran : Masyarakat juga memerlukan kanak-kanak/siswa/i yang mempelajari ilmu untuk cenderung kepada hal-hal yang menyentuh alam sekitar, masyarakat, kebersihan, keselamatan, budaya, perairan, dll.
Saya mengharapkan ada kalangan guru-guru, pensyarah-pensyarah malah ibubapa yang merasakan perlunya beberapa perkara ini diamalkan dalam pendidikan seharian kanak-kanak samada dirumah, disekolah mahupun di universiti. Kita memahukan agarnya hasil daripada sistem pendidikan Malaysia adalah merupakan masyarakat yang berupaya membangun berteraskan keilmuan.

Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir
Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *